GARA-GARA takut dimarahi keluarga, seorang gadis sanggup membuat laporan palsu kononnya dia disamun dan dirogol.
Kes melibatkan remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah itu adalah salah satu daripada 100 kes laporan palsu yang direkodkan Polis Pulau Pinang sepanjang tahun 2021.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain daripada kes tersebut, 99 kes laporan palsu yang direkodkan melibatkan pelbagai motif antaranya kehilangan kad pengenalan dan salah guna wang.
“Mengikut statistik, sebanyak 463 kes samun dilaporkan sepanjang tahun lalu namun apabila disiasat, 100 daripadanya didapati laporan palsu termasuk remaja yang mendakwa telah disamun dan dirogol.
“Pecahan kes adalah 74 kes melibatkan kehilangan kad pengenalan, salah guna wang (lapan), elak bayar hutang (empat), lima kes melibatkan kehilangan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), terlibat pergaduhan (tiga), ponteng kerja (dua), tuntutan insurans (dua), mengandung (satu) dan restu keluarga untuk berkahwin (satu).
“Dengan pecahan itu, jumlah peratusan laporan palsu yang diterima sepanjang tahun lalu adalah 21.6 peratus,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menjelaskan, 11 kes laporan palsu melibatkan samun direkodkan sepanjang dua bulan pada tahun ini.
“Sebanyak 11 kes tersebut melibatkan kehilangan kad pengenalan (dua); hilang pasport (dua) dan masing-masing satu untuk tuntutan insurans, ditipu pelaburan dan salah guna harta,” katanya. -Malaysiapost

