Bukan bubar Parlimen, menteri bertemu sambil sarapan

0
2
Pejabat Perdana Menteri (PMO)

BUKAN mesyuarat tergempar, tapi hanya sesi sarapan bersama.

Itulah alasan yang diberi sumber dalaman Umno berhubung pertemuan menteri dan timbalan menteri parti itu di sebuah hotel di Putrajaya, pagi tadi.

Menurutnya, ia hanya sesi sarapan bersama sebelum menteri berkenaan hadir Mesyuarat Kabinet di Bangunan Seri Perdana di Putrajaya, lapor Berita Harian.

Sumber itu berkata adalah perkara biasa dalam kalangan menteri Umno dan sering mengadakan perjumpaan ketika makan tengah hari selepas mesyuarat.

Katanya, perjumpaan kali ini diadakan pada waktu pagi kerana mesyuarat Kabinet bermula lewat berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menghadiri program Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di ibu negara.

Terdahulu, beberapa menteri daripada Umno dilihat mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya hingga mencetuskan spekulasi berhubung pembubaran Parlimen.

Antara yang memasuki hotel berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang tiba pada jam 8.45 pagi serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, 9.37 pagi.

Perjumpaan kira-kira sejam itu tamat pada jam 9.50 pagi dan semua menteri Umno yang hadir itu keluar serentak.

Antara menteri yang kelihatan meninggalkan hotel itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here