Pekerja asing: Beri kuota khas kepada PAPSMA

0
2

KERAJAAN disaran memberi kuota khas kepada agensi pekerjaaan swasta di bawah Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) untuk membantu sejumlah majikan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merekrut pekerja asing.

Setiausaha Agung PAPSMA, Dr N Sukumaran berkata ini termasuk semua 501 agensi berdaftar dalam kategori C di bawah Kementerian Sumber Manusia supaya memperoleh kuota berkenaan.

Ini katanya, demi membantu golongan majikan dalam urusan permohonan pekerja asing menerusi sistem FCWMS.

Menurutnya, ramai antara majikan itu gagal memenuhi keperluan disyaratkan dalam membuat permohonan tersebut, sekali gus menafikan peluang mereka untuk mendapatkan pekerja asing.

Kata beliau, perkara itu diakui sendiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bahawa terdapat majikan yang menghadapi kesukaran untuk memohon secara dalam talian menggunakan sistem tersebut.

“Jadi kita akan galakkan majikan PMKS menggunakan kuota ini yang diperoleh agensi pekerjaan swasta sebagai fasilitator untuk membantu mereka merekrut pekerja asing.

“Langkah ini sebagai usaha membantu mereka dalam menyambung perniagaan atau menghidupkan semula selepas ada yang terpaksa gulung tikar akibat Covid-19, selain mempunyai masalah tenaga kerja tidak mencukupi,” katanya selepas mesyuarat agung PAPSMA di ibu negara semalam.

Sukumaran berkata, usaha memberi kuota khas itu antara lain bagi mengelak mana-mana majikan yang terdesak untuk merekrut pekerja asing menggunakan khidmat ejen haram yang cuba mengaut keuntungan dengan cara salah.

Beliau berkata, kewujudan kira-kira 10,000 ejen haram ini boleh menjejaskan nama baik negara apabila timbul isu yang menyalahi undang-undang sekali gus membuka risiko aktiviti pemerdagangan manusia.

Lebih memburukkan katanya, ejen haram menjual nama agensi pekerjaan swasta yang sah ini dan menyalahgunakan selain menawarkan kos-kos tertentu untuk menarik minat majikan.

“Kami berterima kasih kepada menteri kerana memberi galakan kepada majikan untuk menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta kategori lesen C ini yang mempunyai wang jaminan berjumlah RM250,000 dengan kerajaan.

“Justeru, kami yang turut diiktiraf kedutaan asing negara sumber memberi jaminan akan melaksanakan perkhidmatan ini secara telus, integriti dan beretika seterusnya melicinkan proses permohonan majikan agar urusan pengambilan pekerja asing berjalan baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here