KELANTAN membenarkan aktiviti solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid, surau dan musolla di seluruh negeri itu berkuatkuasa 1 April ini.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dalam kenyataannya memaklumkan solat terawih sama ada lapan atau 20 rakaat serta qiamullail juga dibenar di sepanjang Ramadan ini.
“Semua aktiviti lain seperti majlis zikir, kelas Al Quran, kuliah khas dan lain-lain program ihya Ramadan dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa penjarakan fizikal.
“Pihak masjid, surau dan musolla hanya dibenarkan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus, diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang,” kata kenyataan itu, hari ini.
Bagaimanapun Maik menegaskan, hanya jemaah yang tidak mempunyai gejala Covid-19 sahaja dibenarkan hadir manakala jemaah yang bergejala dilarang hadir.
“Semua jemaah diwajibkan memakai pelitup hidung dan mulut serta diwajibkan membawa sejadah sendiri. Jemaah juga tidak dibenarkan bersalam antara satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Toursim Kelantan

