KKM sudah buat 3 pengumuman – KJ

0
3
https://www.facebook.com/photo/?fbid=489731622523466&set=pb.100044598962055.-2207520000..

MENTERI Kesihatan menegaskan kenyataannya berhubung dua juta penerima vaksin jenis Sinovac yang tidak mengambil dos penggalak akan hilang status lengkap vaksinasi mereka pada 1 April ini, bukan perkara baharu.

Khairy Jamaluddin sebaliknya berkata beliau telah membuat tiga pengumuman berhubung perkara tersebut sebelum ini.

“Perkara ini bukan baru. Pengumuman pertama: 16 Dis 2021. Peringatan diberi: 7 Feb 2022. Lanjutan masa diberi: 24 Feb 2022.

“Singapura pun ada syarat yang sama. Dos penggalak diperlukan setelah melihat keberkesanan menurun selepas beberapa bulan dan kesan varian Omicron,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Semalam, Khairy berkata kira-kira dua juta penerima vaksin jenis Sinovac yang tidak mengambil dos penggalak akan hilang status lengkap vaksinasi mereka pada 1 April ini.

Justeru, beliau berkata penerima Sinovac yang belum menerima dos penggalak tidak akan dianggap sebagai vaksin penuh jika mereka berhasrat mengunjungi Singapura kelak.

“Bagi mereka menerima Sinovac, kita dapati bahawa 2.09 juta tidak menerima dos penggalak.

“Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) unjurkan mungkin ada dua juta penerima vaksin Sinovac yang berisiko untuk hilang status lengkap pada 1 April.

“Saya bincang dengan Menteri Kesihatan Singapura, mereka juga pertimbangkan penerima vaksin Sinovac (berstatus) lengkap ialah tiga dos,” kata Khairy dalam sidang media di Parlimen.

Februari lalu, penerima Sinovac dan warga emas berusia 60 tahun ke atas diminta mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac dan mereka akan hilang status lengkap vaksinasi jika gagal berbuat demikian.

KKM kemudian melanjutkan tempoh sehingga 31 Mac 2022 bagi penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun untuk mendapatkan suntikan dos penggalak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here