PDRM perbaharui sumpah taat setia kepada raja, negara

0
2

MELANGKAH ke-215 tahun usia penubuhannya hari ini, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan negara, serta berikrar memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata seluruh warga PDRM juga akan melaksanakan tugas secara profesional dan terus memperkasa integriti demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Dengan mengekal tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, warga PDRM sentiasa “Sedia Berkhidmat” dan berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara.

“Segala pengorbanan, jerih perih dan titisan darah pahlawan-pahlawan terdahulu, demi nikmat keamanan yang dikecapi kini, akan terus kami perjuangkan dan diwariskan pula kepada generasi pelapis Sang Saka Biru akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Perbarisan sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Pulapol dekat ibu negara hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Acryl Sani berkata, dalam usaha memantapkan sistem penyampaian pasukan, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan perolehan aset dan peralatan seiring kemajuan teknologi terkini kepolisan moden.

Untuk itu, beliau bagi pihak PDRM merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan KDN yang prihatin akan keperluan PDRM.

“Di samping itu, kerajaan telah memperuntukkan dana besar untuk kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta seisi keluarga dan pesara polis.

“Di waktu sama, PDRM menzahirkan kesediaan untuk menghulurkan apa jua bantuan diperlukan, demi mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here