PELATIH Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) hilang ketika mandi di sungai berhampiran rumahnya di Baling, Kedah kelmarin, ditemui lemas semalam.
Mangsa, Muhammad Saiful Ezzuddin Mustafa, 14, dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di Sungai Ketil, Baling, Kedah, petang kelmarin.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di Facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni dosanya. Al-Fatihah,’ tulis hantaran itu.
Untuk rekod, Muhammad Saiful Ezzudin dan semua pelatih bawah 14 dan 15 tahun AMD sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman masing-masing bermula 19 hingga 27 Mac 2022.
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Bagi pihak KBSMalaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohammad Saiful Ezzuddin, pelatih bola sepak Akademi Mokhtar Dahari.
“Saya doakan Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya. – Malaysiapost

