POLIS sedang mengesan individu yang terlibat dalam video tular memaparkan aksi berbahaya tiga kanak-kanak mengeluarkan kepala daripada sebuah kereta sedang bergerak di jalan raya, seperti yang tular media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kejadian tersebut melibatkan kenderaan jenis Mercedes, dan video berdurasi satu minit dua saat itu dimuat naik di laman Facebook Inforoadblock.
Katanya, kes itu dipercayai berlaku di Jalan Tambun di Ipoh namun tarikh dan masa kejadian masih belum diketahui.
“Satu laporan polis berkaitan insiden itu telah diterima di mana siasatan dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
“Pihak polis sedang mengesan individu-individu terlibat dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Yap Siew Cheng di talian 012-9093362 bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

