Sosma : Tidak timbul isu tidak percaya pada PM – Anthony Loke

0
1

PENOLAKAN usul pelanjutan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat semalam, tidak menimbulkan isu ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri, datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) berkata, penolakan usul itu juga tidak berkaitan dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia kerana usul berkenaan tidak dirunding terlebih dahulu dengan blok pembangkang.

“Isu Sosma tidak dirunding bersama kita. Kita tak setuju dengan usul (lanjutan Sosma) itu. Namun, adakah bermaksud usul itu ditolak maka Yang Berhormat Bera (Ismail Sabri) hilang kepercayaan…jawapannya tidak.

“Sekarang kalau ada siapa-siapa pertikai dan ada persoalan bahawa Bera sudah hilang kepercayaan, bawa satu usul tidak percaya ke Dewan Rakyat ini, kita akan berkecuali. Jadi soal ketidakpercayaan tidak timbul sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Anthony Loke berkata, blok pembangkang hanya mengetahui mengenai usul lanjutan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 itu semalam.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju, manakala 49 tidak hadir.

Mengulas berkenaan kenyataan bahawa PH telah melanggar MoU itu kerana menolak usul, Anthony Loke berkata PH memegang kepada prinsip.

“Bagi kita (pembangkang), kita pegang pada prinsip bahawa ada perkara dasar yang kita tak setuju dalam Sosma ini, (jadi) kita nyatakan kita tak setuju.

“Namun ada perkara kita setuju (iaitu) kita nak pastikan kestabilan kerajaan sampai satu tempoh kita nak adakan PRU (Pilihan Raya Umum),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here