Petugas kesihatan positif Covid-19 kembali bekerja hari keenam

0
2

PETUGAS kesihatan kerajaan yang disahkan positif Covid-19 akan kembali bekerja pada hari keenam selepas menjalani kuarantin kendiri, lebih awal berbanding tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata perubahan dasar itu terpaksa dibuat akibat jumlah petugas kesihatan yang positif Covid-19 amat tinggi hingga menyebabkan hospital kekurangan tenaga kerja.

Menurutnya, kadar ketidakhadiran petugas kesihatan KKM mencatatkan sekurang-kurangnya enam peratus sejak 4 Mac lalu, majoritinya akibat dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat kes positif.

“Berdasarkan data yang dilaporkan setakat semalam, seramai 19,420 petugas kesihatan tidak hadir bekerja, dengan 18,354 orang atau 94.5 peratus dijangkiti Covid-19, manakala 1,066 petugas atau 5.5 peratus adalah kontak rapat.

“Jumlah ini mewakili 6.8 peratus ketidakhadiran bagi semua tenaga kerja KKM di seluruh negara dan kadar ketidakhadiran kekal melebihi enam peratus sejak 4 Mac lalu. Disebabkan itu, pengarah hospital meminta supaya dasar pengurusan kes positif Covid-19 dikaji semula.

“Susulan itu, dasar baharu bagi petugas kesihatan dibentangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat pada 15 Mac lalu,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ketika ini, garis panduan kuarantin bagi pesakit Covid-19 menetapkan individu yang sudah divaksin dan tidak bergejala perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari, manakala yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi perlu dikuarantin selama 10 hari.

Khairy berkata, dasar baharu itu tidak akan menjejaskan pesakit kerana mereka sudah menjalani ujian saringan dan tidak lagi bergejala.

“Mereka juga akan tetap memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas, iaitu perlindungan yang baik untuk mereka dan pesakit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here