Johor bersiap sedia buka sempadan – MB

0
2

JOHOR dengan bantuan kerajaan pusat sedang membuat segala persiapan yang termampu untuk memastikan keselesaan rakyat Malaysia dan Singapura apabila sempadan darat kedua-dua negara dibuka pada 1 April ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau telah mengadakan mesyuarat penyelarasan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar bagi melihat persediaan pembukaan semula sempadan negara.

“Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dalam hantaran berasingan, Onn Hafiz berkongsi pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini, antara lain berbincang mengenai pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana berkat kesabaran bangsa Johor dan rakyat Malaysia selama lebih 20 bulan, akhirnya sempadan Johor-Singapura akan kembali dibuka pada 1 April 2022.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan negeri Johor yang memberi impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

“Mewakili kerajaan Johor, saya menyambut baik dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, yang telah mengumumkan berita baik ini buat bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Susulan itu katanya, beliau akan berusaha memastikan segala persiapan di sempadan Johor-Singapura berada pada tahap yang baik dan mengambil kira isu kesesakan lalu lintas.

“Semoga pembukaan sempadan ini akan menjadi lembaran baru bukan sahaja buat Malaysia dan Singapura, malah buat Johor dengan Singapura.

“Saya berharap agar saya dapat berjumpa dengan pucuk pimpinan Singapura dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju pembangunan negeri Johor dan Singapura untuk masa yang mendatang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here