Ismail Sabri, PM Singapura bincang pembukaan sempadan

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong berhubung pembukaan sempadan darat kedua-dua negara.

Perbincangan itu dilakukan menerusi perbualan telefon kedua-dua pemimpin seperti dikongsi Hsien Loong menerusi ciapan di Twitternya sebentar tadi.

“Bercakap dengan PM Malaysia @IsmailSabri60 di telefon hari ini.

“Memandangkan kedua-dua pihak telah mencapai kemajuan yang baik dalam menguruskan Covid-19, kami bersetuju sudah tiba masanya untuk membuka semula sempadan darat kami. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian,” katanya.

Terdahulu Malaysia dan Singapura mengorak langkah melakukan persiapan segera bagi menyambung semula kebenaran perjalanan darat dan udara sepenuhnya kepada rakyat kedua-dua negara yang telah lengkap divaksin.

Ia berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang kembali stabil.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Ong Ye Kung mengadakan perbincangan mengenai keadaan pandemik di kedua-dua negara di pejabatnya di Putrajaya.

Pada masa ini Malaysia melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara dengan Singapura, sebuah program pemudah cara perjalanan dua hala bagi individu yang mendapat dos lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Di bawah VTL, individu yang lengkap divaksin dari sebuah negara boleh memasuki negara lain tanpa kuarantin bergantung kepada saringan COVID-19 dan keperluan selanjutnya ditentukan oleh negara penerima.

Pada 8 Mac, Ismail Sabri mengumumkan Malaysia akan membuka semula sempadan bermula 1 April ini bagi menggiatkan semula ekonomi negara, terutamanya industri pelancong yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here