DALAM demokrasi berparlimen, usul atau undang-undang yang gagal diluluskan sehingga menyebabkan ketidakpercayaan kepada kerajaan hanya melibatkan tiga situasi.
Menurut pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Lim Wei Jiet, tiga perkara itu ialah undi tidak percaya Perdana Menteri berjaya, bajet tahunan dikalahkan serta perbahasan Titah Diraja dikalahkan.
“Kegagalan lulus SOSMA bukan. Ini bukan pandangan saya sahaja tetapi juga pakar perlembagaan lain seperti Prof Shad Saleem Faruqi,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Wei Jiet berkata, jika benar perjanjian persefahaman (MOU) Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan ditandatangani tahun lalu, meletakkan obligasi Ahli Parlimen Pembangkang untuk sokong semua rang undang-undang kerajaan, maka adalah membuang masa berdebat di Parlimen.
“Tutup saja Parlimen sebab dah jadi rubber stamp,” katanya lagi.
Terdahulu beberapa pemimpin Umno menyatakan PH telah melanggar MOU dengan kerajaan apabila menolak usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam.
Bagaimanapun pembangkang menegaskan isu SOSMA tidak termasuk dalam MOU. – Malaysiapost

