Arab Saudi tarik balik beberapa sekatan berkaitan Covid-19 – Idris Ahmad

0
2

PENGUMUMAN kerajaan Arab Saudi menarik balik kebanyakan sekatan berkaitan Covid-19 termasuk perjalanan, penjarakan fizikal, ujian antigen pantas dan kuarantin wajib ke negara berkenaan, disambut baik oleh Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata dengan penarikan sekatan itu, pihaknya berharap lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat menunaikan ibadat umrah dan haji pada tahun ini dan akan datang.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pengumuman kerajaan Arab Saudi menarik balik kebanyakan sekatan berkaitan dengan Covid-19.

“Kerajaan Arab Saudi tentunya telah menilai pelbagai aspek dan semua protokol kesihatan sejak wabak Covid-19 melanda dunia dua tahun lalu sebelum menarik balik sekatan tersebut, sejajar dengan situasi pandemik yang bertambah baik di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pada masa yang sama, kerajaan Arab Saudi pastinya telah membuat persiapan rapi berpandukan amalan terbaik pengendalian antarabangsa demi menjaga keselamatan rakyatnya dan juga para jemaah umrah dan haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

“Kerajaan Malaysia khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terus bekerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi untuk sentiasa melakukan yang terbaik demi keselamatan dan kesihatan jemaah umrah dan haji,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here