USUL yang dibawa kerajaan bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat, petang tadi.
Keputusan undi belah bahagi dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun yang mendapati hanya 84 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju. Seramai 50 orang lagi ahli parlimen tidak hadir.
Ini bermakna, subseksyen berkenaan yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret, tidak akan lagi berkuatkuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.
Bagaimanapun, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri boleh membentangkan semula usul ini.
Terdahulu, usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebelum dibahaskan oleh 19 orang Ahli Parlimen.
Apa yang mengejutkan, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) memohon kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, agar usul tersebut ditentukan secara undi belah bahagi.
Cadangan Kor Ming itu kemudian diterima selepas mendapat lebih 15 sokongan ahli parlimen.
Tindakan Kor Ming yang meminta undi belah bahagi jelas tidak mematuhi memorandum persefahaman yang termeterai antara Pakatan Harapan dengan kerajaan tahun lalu.
Loceng dibunyikan dua kali dan masa diberikan untuk Ahli Parlimen masuk ke dewan, sebelum pintu ditutup.
Sosma digagaskan untuk menyediakan langkah-langkah khas berkenaan kesalahan keselamatan bagi mengekalkan “ketenteraman awam, keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya”.
Ia dikuatkuasakan untuk menangani kes kesalahan keselamatan dan keganasan dan berkuatkuasa pada 22 Jun 2012, menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). -Malaysiapost

