
MCA meminta kerajaan supaya membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti atau RUU Pemecatan Wakil Rakyat sebelum tamatnya persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, berkata ia bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.
Menurutnya, walaupun RUU berkenaan bakal melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, namun kerajaan haruslah menunjukkan iltizam politiknya untuk menyelesaikan isu-isu teknikal yang berkaitan.
Katanya, ia memandangkan persidangan penggal ini akan tamat esok, bererti masa untuk membentang sudah suntuk, kecuali persidangan dilanjutkan.
“Sama ada ia direalisasikan melalui RUU Anti Lompat Parti atau RUU Pemecatan Wakil Rakyat, seluruh Ahli Parlimen sudah mempunyai suatu bentuk persefahaman asas, yang juga merupakan hala tuju pembaharuan yang disukai serta dinanti-nantikan rakyat.
“Justeru kerajaan sewajarnya membentangkan RUU berkenaan secepat mungkin untuk diluluskan oleh Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum akan datang, bagi menghalang ahli-ahli politik memanipulasikan mandat rakyat serta merosakkan agenda demokrasi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, budaya ‘lompat’ parti telah menghantui politik negara sejak sekian lama, terutamanya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Ia menyebabkan ketidakstabilan politik dan pelbagai kekalutan yang tercetus telah menghalang proses demokrasi negara serta mengecewakan harapan pengundi terhadap sistem politik kita,” katanya.
Sin Woon yang juga Pengerusi Jawatankuasa RUU MCA telah mengesyorkan supaya kerajaan melaksanakan RUU Pemecatan Wakil Rakyat pada September tahun lalu.
RUU tersebut menganjurkan pengembalian kuasa kepada pengundi untuk menentukan nasib seseorang wakil rakyat yang melompat parti, sambil memelihara kebebasan berpersatuan sebagaimana peruntukan Artikel 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
“Menghalang wakil rakyat daripada melompat parti merupakan asas untuk menstabilkan politik, sekali gus mengembalikan rentak pembangunan negara. Ia tidak harus dilengah-lengahkan lagi,” tegasnya. – Malaysiapost
