PM ucap takziah pada keluarga mangsa nahas pesawat China

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat Boeing 737-800 di wilayah Guangxi, China.

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya, berkata beliau turut bersedih dengan perkhabaran tersebut dan turut mengucapkan takziah kepada kerajaan China.

“Saya sedih apabila mendapat perkhabaran tentang pesawat penumpang Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines terhempas dan mengorbankan 132 penumpang dan anak kapal di Wilayah Guangxi, China semalam.

“Saya dan seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan takziah yang mendalam kepada Kerajaan China dan keluarga mangsa. Diharap semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan tiada rakyat Malaysia dipercayai terbabit dalam nahas pesawat itu, semalam.

Perkara itu dimaklumkan berdasarkan maklumat diberikan Kedutaan Besar Malaysia di negara berkenaan.

“Kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian nahas China Eastern Airlines MU5735 di Wilayah Guangxi, pada 21 Mac.

“Namun, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Nanning dan Guangzhou, Republik Rakyat China sedang memantau rapi perkembangan kemalangan itu,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, pesawat China Eastern Airlines dilaporkan terhempas di pergunungan di selatan China, semalam.

Pesawat dengan 123 penumpang dan sembilan kru, sebelum itu terputus hubungan ketika di Wuzhou, menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dan syarikat penerbangan.

Pesawat itu berlepas dari Kunming pada 1.11 tengah hari (waktu tempatan), menurut data FlightRadar24 dan dijadualkan mendarat di Guangzhou, pada 3.05 petang (waktu tempatan).

Media tempatan melaporkan tiada tanda ada mangsa terselamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here