Isu ayam: Laksana penyelesaian jangka panjang, elak krisis bekalan makanan

0
2

BEKAS Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa kerajaan mengambil tindakan segera berhubung isu kekurangan bekalan ayam dan telur di Malaysia ketika ini.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak dunia dan juga kelapa sawit ketika ini memberi faedah kepada kerajaan, dan ia boleh dimanfaatkan untuk membendung kemungkinan krisis makanan sepertimana berlaku pada 2008.

“Belajar episod tahun 2008. Petani dan penternak dibantu, termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan rangkaiannya di bawah. Kerajaan negeri mesti dilibatkan.

“Kena cari jalan segera, kalau tidak KFC tak ada ayam. Nak buat ayam penyet pun susah,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, menyifatkan semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang perlu bertanggungjawab terhadap isu kekurangan bekalan ayam dan telur ayam di negara ini.

Beliau menegaskan, memandangkan hampir semua Ahli Parlimen pernah menjadi kerajaan, semua wakil rakyat perlu mengambil tanggungjawab atas kegagalan merangka dasar untuk menjamin kemampanan industri ternakan itu.

Katanya, kegagalan itu terbukti apabila negara jiran Malaysia tidak berdepan isu kekurangan itu, malah boleh mengeksport ayam ke Malaysia, sekali gus membuktikan isu bekalan di Malaysia adalah akibat kelemahan dasar.

Mengulas isu sama, Ahmad Shabery berkata, sebelum ini negara juga pernah mengeksport ayam ke Singapura.

“Ayam segar mesti dari Malaysia. Ayam beku susah nak buat nasi ayam. Yang beku boleh diimport dari Brazil atau negara-negara lain.

“Puncanya kos dedak meningkat akibat kenaikan harga jagung dunia. Selain faktor gangguan cuaca di negara pengeluar, kenaikan harga minyak dunia juga ada kaitan,” katanya.

Justeru, katanya kerajaan boleh melaksanakan penyelesaian jangka panjang dengan menanam sendiri jagung, namun ia tidak mudah.

“Kerajaan pusat boleh buat keputusan. Tapi mana nak cari 300,000 hektar tanah atau 2 kali keluasan negeri Melaka kalau nak dapat jagung 3 juta tan setahun? Tak semudah itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here