“SAYA sayangkan seluruh ahli PAS tapi kecewa dengan tiga pemimpin parti itu,” kata Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman.
Beliau berkata demikian menjelaskan tindakannya menggelarkan tiga pemimpin itu sebagai ‘tiga jahanam’ dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.
Tiga pemimpin tersebut ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Saya selaku Ketua Penerangan Umno Negeri Kelantan dan juga Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas ucapan saya pada PAU 2021.
“Saya mewakili Badan Perhubungan Umno Negeri dan keseluruhan ahli Umno Negeri Kelantan amat berdukacita atas keruntuhan Muafakat Nasional (MN) yang didirikan dengan linangan air mata selepas lebih 30 tahun bersengketa.
“Saya dengan rasa berat hati terpaksa melabelkan mereka yang telah memecah-belah dan menjahanamkan pemuafakatan yang terbina diatas prinsip Melayu dan Islam dengan perkataan tiga jahanam.
“Saya amat menghormati Datuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Timbalan Presiden PAS, Nik Abduh Nik Mat serta sayangkan seluruh Ahli PAS yang begitu menghayati perjuangan MN,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi surat terbuka kepada Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.
Zawawi berkata, selepas MN terbina, beliau menginsafi bahawa di Pasir Puteh, PAS memenangi kesemua kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Umno akur semua kerusi Parlimen dan DUN adalah hak mutlak PAS pada PRU 15 nanti.
“Sebab itulah saya meminta supaya semua aktiviti Umno yang berkaitan dengan aktiviti politik diberhentikan untuk memberi laluan kepada wakil rakyat PAS melaksanakan gerak kerja selaras dengan persefahaman yang terbina antara Umno dan PAS melalui MN dan menghormati persefahaman yang telah dimenteraikan.
“Bagaimanapun, setelah merujuk kepada beberapa peristiwa dan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS terutama tiga pemimpin itu, saya telah mengambil keputusan untuk menggerakkan semula jentera Umno dengan matlamat untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada PRU15 nanti.
“Situasi ini diperkukuhkan lagi ekoran kenyataan dan tindakan yang dibuat oleh Presiden PAS yang memberi gambaran betapa hinanya Umno disisi pemimpin dan ahli PAS. Mereka langsung tidak mempedulikan perasaan pemimpin dan ahli Umno yang pada awalnya agak sukar untuk menerima persefahaman yang terbina melalui MN.
“Gerakan yang direncanakan oleh beberapa pemimpin tertinggi PAS terutamanya YB Datuk Presiden PAS sendiri telah menyebabkan perasaan kecewa di hati kami pemimpin dan ahli Umno,” katanya.
Beliau berkata, semua saf kepimpinan Umno termasuk Presiden parti itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang membolehkan hubungan Umno dan PAS terjejas.
Bahkan, katanya, Umno cuba memberi laluan kepada PAS untuk bertanding dengan menggunakan logo PAS dalam PRN Melaka dan PRN Johor.
“Ia di mana PAS dan Umno akan saling membantu antara satu sama lain sebagaimana yang telah berlaku dalam PRK yang dimenangi sebelum ini.
“Tetapi PAS mengambil keputusan untuk menolak pelawaan tersebut sebaliknya menerima pelawaaan PN dan sanggup untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) menyebabkan PAS hanya berjaya memenangi satu kerusi bagi setiap PRN yang dipertandingkan,” katanya.
Sabtu lalu, Zawawi menegaskan Umno Kelantan menolak kerjasama dengan PAS selagi terdapat tiga pemimpin parti berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘Tiga Jahanam’ yang bermulut jahat.
Susulan itu, Tuan Ibrahim berkata, gelaran yang dilempar terhadap tiga pemimpin PAS itu tidak boleh diterima sama sekali. – Malaysiapost

