PRIHATIN kepada mereka yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil menyediakan peruntukan Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Seramai 80 orang pelajar UMS menerima bantuan berkenaan sebagai persediaan untuk mereka memulakan pengajian.
Penyerahan bantuan itu disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Datuk Dr Abdul Rahman Bakri mewakili Pengerusi YBR dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR di UMS, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar lebih ramai agensi atau badan bukan kerajaan seperti ini akan tampil dan mengikut jejak langkah dengan membantu memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.
“Program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada.
“YBR juga amat mengalu-alukan bantuan seperti ini kerana sekurang-kurangnya para pelajar kurang berkemampuan mendapat perhatian pihak luar dan memberikan rasa keterujaan untuk membuat persiapan memasuki pengajian,” katanya.
YBR telah memperuntukan RM80,000 kepada pelajar UMS dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah yang telah menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda untuk memulakan pengajian di semester yang baru.
Setiap dari mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi membuat persediaan kemasukan sesi pengajian yang baru sahaja bermula.
Sementara itu, selain misi membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, beliau berharap inisiatif sedemikian dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Untuk makluman sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta sejak dari tahun 2017.
Bagi tahun 2022, sejumlah RM1 juta diperuntukan bagi bantuan berkenaan. – Malaysiapost

