Bentang segera RUU Anti Lompat Parti – Khaled Nordin

0
1

KERAJAAN wajar membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tanpa berlengah dan dengan segera, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, iltizam Umno ialah untuk membasmi segala bentuk penyelewengan mandat oleh wakil rakyat yang dilantik dan RUU terbabit yang sepatutnya dibentangkan itu sebenarnya adalah langkah yang sangat progresif.

“Ia telah menjadi bahagian penting dari reformasi politik yang Umno dukung dengan sokongan Pakatan Harapan (PH).

“Sokongan bipartisan sedemikian bukan sahaja unik tetapi menggambarkan betapa Malaysia sedang bergerak di landasan betul dalam kematangan politiknya.

“Apalagi bila Barisan Nasional (BN) dan PH telah menjadi mangsa kecurangan wakil rakyat mereka yang ‘melompat’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, tindakan mereka yang ‘melompat’ itu telah menyebabkan Malaysia mengalami ketidakstabilan politik yang merencatkan kemajuan dan pembangunannya.

“Penangguhan pembentangan RUU tersebut, jika dibiarkan terlalu lama, akan menimbulkan keraguan di kalangan rakyat tentang komitmen Umno dalam menjuarai reformasi politik dan institusi seperti yang dijanjikan.

“Justeru, ikhtiar yang penting sebegini, janganlah dilengah-lengah lagi dan mesti diberikan segala keutamaan oleh Kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here