PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam, di Kinabatangan, hari ini.
Bung Moktar yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mengundi di saluran dua pada jam 11.05 pagi.
Bung Moktar yang ditemani isterinya, Datin Asidah Alimuddin sempat bertegur sapa dengan orang ramai yang datang mengundi di pusat mengundi berkenaan.
Kerusi itu menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Bung Moktar, calon daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon Bebas.
Ketika ditemui pemberita, Bung Moktar berkata, biarpun proses pengundian agak perlahan, namun ia tetap berjalan lancar dengan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kita kena patuhi kerana kita maklum dalam suasana Covid-19 sudah tentu kita mengamalkan SOP ditetapkan.
“Saya yakin dan percaya semua pengundi yang berkelayakan mengundi boleh mendapatkan hak mereka untuk mengundi,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut melahirkan penghargaan kepada semua kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan dan kesihatan yang bertungkus lumus untuk memastikan pengundi yang layak dapat menunaikan tanggungjawab mereka. -Malaysiapost



