Penghuni rumah anak yatim maut dibelasah kerana RM4

0
3

KANAK-kanak berusia 11 tahun yang juga penghuni sebuah asrama rumah anak yatim dan miskin, di Kuantan, Pahang, meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah rakannya semalam, hanya kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, murid Sekolah Kebangsaan Sg. Soi, Kuantan dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri di surau rumah anak yatim dan miskin berkenaan.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh suspek berusia 16 tahun dan mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian disedari penyelia asrama berusia 35 tahun selepas mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa tiga penghuni lain termasuk suspek menemuinya kira-kira jam 4.15 petang.

“Ketika itu mangsa masih bernyawa dan awalnya disyaki diserang sawan lalu pengadu bersama seorang lagi penyelia asrama segera membawanya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.

“Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, pengadu kemudiannya membuat satu laporan polis berhubung kejadian untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua telah ditugaskan untuk gotong-royong membersihkan surau.

“Ketika berada di surau itu, suspek dipercayai telah mencekik dan menghempas mangsa ke lantai hingga mangsa tidak sedarkan diri.

“Kejadian dipercayai berpunca rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga dikatakan tidak puas hati dengan sikap mangsa yang tidak mengambil serius tegurannya.

“Kejadian itu disaksikan beberapa penghuni asrama lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here