Kempen pemilihan PKR bermula diluar waktu rasmi – Zaliha

0
2
https://www.suarakeadilan.my/post/pas-akui-sahajalah-kerajaan-pn-telah-gagal-dr-zaliha

JAWATANKUASA Pemilihan Parti (JPP) PKR memaklumkan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kempen Pemilihan Keadilan 2022 yang telah bermula pada masa kini walaupun ianya di luar waktu kempen rasmi.

Justeru itu, Pengerusinya Dr Zaliha Mustafa, memohon supaya bakal calon dan penyokong menjaga tatasusila, mengelak dari kempen yang tidak beretika seperti menyelar peribadi calon atau menggunakan perkataan tidak sopan.

“Adalah diperingatkan bahawa kempen secara rasmi hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan pada 8 April 2022 dan JPP akan memantau secara dekat sebarang bentuk kempen kepada semua calon tanpa prejudis.

“Selain akan bertindak mengikut Peraturan dan Tatacara Pemilihan serta Tataetika Kempen yang telah dibentangkan, didokumenkan dan dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pemilihan Keadilan 2022 kini semakin rancak dalam fasa pertama proses pemilihan di mana anggota parti digalakkan untuk memuat turun Aplikasi ADIL yang telah dilancarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mac lalu.

Katanya, selain itu anggota parti turut diminta mengemaskini daftar keanggotaan serta memberi persetujuan untuk menjadi Pemilih Atas Talian (PAT).

“Namun, lumrahnya dalam mana-mana pertandingan, mereka yang menawarkan diri sebagai bakal pimpinan parti untuk tiga tahun akan datang telah pun memberi indikasi bahawa mereka akan bertanding pada pemilihan kali ini.

“Penyokong masing-masing pula kini sibuk mempromosikan pimpinan pilihan mereka dalam pelbagai cara dan pelbagai platform media,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga dijangka akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berdolak dalik tentang tarikh sebenar ianya diadakan.

“Saya yakin semua anggota adalah insan dewasa serta matang, yang sayang kepada parti dan mahu ianya menjadi suatu organisasi yang bakal hadir sebagai pasukan Keadilan yang perkasa dan terus mendapat sokongan rakyat dalam berdepan dengan PRU-15,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Suara Keadilan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here