DAP guna pendekatan inklusif, konsensus bagi hala tuju parti – Anthony Loke

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP yang baharu, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pihaknya akan menggunakan pendekatan aspek inklusif dan konsensus dalam membuat sebarang keputusan penting berkaitan parti itu.

Beliau berjanji akan memastikan hala tuju parti diputuskan melalui konsensus selepas perbincangan teliti dijalankan, termasuk perjuangan politik DAP terus dilaksanakan berlandaskan semangat dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kepentingan rakyat Malaysia daripada semua latar belakang dan kedaulatan negara akan terus dipertahankan.

“Kami sedar perjuangan politik DAP masih ada jalan yang panjang dan ruang luas untuk diperkembangkan.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mendekati rakyat dan meyakinkan mereka bahawa perjuangan kami adalah ikhlas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anthony Loke berkata, aset paling penting dalam parti ialah bakat dan idealisme membabitkan ahli muda.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan tradisi parti untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada anak muda dalam parti daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan gender.

“Ini seiring usaha memaksimumkan bakat kepimpinan mereka termasuk peluang mewakili parti dalam pilihan raya.

“Saya sedar jawatan ini (Setiausaha Agung) satu tanggungjawab sangat besar, namun saya akan memastikan segala usaha menjaga integriti dan kredibiliti institusi jawatan ini sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seremban itu dipilih memegang jawatan Setiausaha Agung DAP yang baharu bagi menggantikan Lim Guan Eng, dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada Kongres Kebangsaan Ke-17 DAP, semalam.

Seramai 4,149 perwakilan menghadiri kongres sehari secara fizikal yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here