Perjuangan DAP terus berlandas semangat, peruntukan Perlembagaan

0
3

SETIAUSAHA Agung DAP yang baharu, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan pemilihannya Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP semalam, pembuka tirai era kepimpinan baharu dalam parti tersebut.

Ini kerana kata Ahli Parlimen Seremban itu, rata-rata CEC terdiri daripada generasi ketiga (3G) kepimpinan parti.

Selain beliau, katanya pimpinan 3G itu terdiri Gobind Singh, Nga Kor Ming, Liew Chin Tong, Chong Chieng  Jen, Teo Nie Ching, Tengku Zul, Sivakumar, Ng Sze Han, Ng Sue Lim, Khoo Poay Tiong

“Pimpinan generasi kedua (2G) DAP yang akan terus memberi sokongan kepada pimpinan baru ialah seperti Lim Guan Eng, Tan Kok Wai, Chow Kon Yeow, M Kulasegaran, Teresa Kok dan Fong Kui Lun

“Malah, Kongres hari ini telah memilih pemimpin generasi keempat (4G) dalam DAP seperti Steven Sim, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, Wong Shu Qi, Rara, Kasturi Patto, Alice Lau, Teo Kok Seong, Tan Hong Pin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dalam sistem pemilihan DAP, jawatan Setiausaha Agung merupakan “first among the equals” yang membawa maksud bahawa jawatan tersebut adalah kuasa ekskutif tertinggi dalam kepimpinan parti.

Mengulas lanjut, Siew Fook berharap kepimpinan 3G akan membentuk pasukan teras (core team) yang akan memimpin DAP untuk 10 tahun yang akan datang dan apabila sampai masanya, generasi seterusnya pula bersedia memikul tanggungjawab untuk memimpin perjuangan parti.

“Pendekatan kepimpinan saya akan menekankan aspek inklusif dan konsensus. Segala keputusan penting dan hala tuju parti akan diputuskan melalui konsensus selepas perbincangan teliti dijalankan.

“Perjuangan politik DAP pula akan terus berlandaskan kepada semangat dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kepentingan rakyat Malaysia daripada semua latarbelakang dan kedaulatan negara  akan terus dipertahankan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya sedar perjuangan politik DAP masih ada jalan yang panjang dan ruang yang luas untuk diperkembangkan.

Berikutan itu beliau berkata, DAP akan berusaha sedaya upaya untuk mendekati rakyat untuk menyakinkan mereka bahawa perjuangan kami adalah ikhlas.

Menurutnya, aset yang paling penting dalam parti ialah bakat dan idealisme di kalangan ahli-ahli muda kita.

“Selaku Setiausaha Agung, saya akan meneruskan tradisi parti untuk menyediakan peluang yang sebanyak mungkin untuk anak-anak muda dalam parti yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum, agama dan gender untuk memaksimakan bakat kepimpinan mereka termasuk peluang untuk mewakili parti dalam pilihan raya.

“Saya amat sedar bahawa jawatan Setiausaha Agung DAP adalah satu tanggungjawab yang sangat besar.

“Saya akan memastikan  segala usaha untuk menjaga integriti dan kredibiliti institusi jawatan ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu beliau mengambil alih jawatan Setiausaha Agung daripada Lim Guan Eng yang telah memimpin parti selama 14 tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here