Piala FA: Liverpool jumpa Man City di separuh akhir

0
3

LIVERPOOL melangkah ke separuh akhir Piala FA England setelah dipaksa berhempas pulas sebelum menang tipis 1-0 ke atas Nottingham Forest di gelanggang lawan, awal pagi tadi.

Skuad Jurgen Klopp terpaksa menunggu sehingga minit ke-78 untuk mendapat gol tunggal mereka menerusi penyerang Portugal, Diogo Jota yang menyempurnakan hantaran Kostas Tsimikas.

Forest yang menghuni tangga kesembilan Liga Championship bagaimanapun beberapa kali mencemaskan skuad The Reds termasuk nyaris diberi sepakan penalti setelah pemainnya diasak Alisson.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool masih berada di landasan tepat untuk membolot empat kejuaraan utama musim ini selain Liga Perdana dan Liga Juara-Juara setelah menjulang Piala Carabao bulan lalu.

Bagaimanapun menanti Liverpool di separuh akhir Piala FA ialah pencabar terkuat mereka bagi saingan Liga Perdana, iaitu Manchester City di Wembley pada 16 April depan.

City sebelum itu mudah membenam Southampton 4-1 dalam satu lagi aksi suku akhir Piala FA.

Satu lagi perlawanan separuh akhir bakal menemukan Chelsea dan Crystal Palace. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here