Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah kejayaan HTA bedah kembar Siam

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan tahniah kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur atas kejayaan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam pramatang pertama di Malaysia.

Menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, Baginda berdua menzahirkan menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan itu yang sekali gus turut mencipta sejarah sebagai pembedahan pertama seumpamanya dalam negara.

Pembedahan pasangan kembar berusia 17 hari itu yang dilaksanakan dengan jayanya semalam, diketuai Datuk Dr Zakaria Zahari dan membabitkan 13 doktor pakar, termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara serta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.

“Baginda berdua menzahirkan rasa syukur apabila pasangan bayi kembar siam jenis Omphalophagus itu berjaya dipisahkan tanpa komplikasi.

“Seri Paduka berdua turut mendoakan agar pasangan bayi kembar siam itu berada dalam keadaan yang baik dan segera pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” kata hantaran itu hari ini.

Kembar siam itu dilahirkan secara pramatang dengan berat 2.7 kilogram (kg) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan dan dirujuk ke HTA bagi rawatan lanjut.

Semenjak pembukaan HTA, pembedahan berkenaan merupakan pembedahan ketiga untuk pasangan bayi kembar siam di hospital terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here