Kumpulan konvoi kereta mewah disiasat kerana merusuh

0
1

POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung konvoi kenderaan mewah memberhentikan kenderaan di Kilometer (KM) 34 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan hingga menghalang lalu lintas berhampiran susur keluar Sedenak, Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Being Yeow, berkata pihaknya mengesan satu video tular hari ini yang memaparkan beberapa kereta mewah berhenti di pertengahan lebuh raya dan menghalang lalu lintas.

“Satu laporan polis telah diterima dan hasil siasatan awalendapati kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lalu kira-kira jam 6.10 petang iaitu membabitkan pelanggaran di antara sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan kereta jenis Lamborghini.

“Pemandu Ford Ranger dipercayai cuba memotong konvoi kereta Lamborghini secara ‘zig-zag’ dan telah menyebabkan pelanggaran dengan salah satu Lamborghini ketika cuba memasuki lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan pelanggaran itu kumpulan konvoi kenderaan mewah berkenaan berasa tidak puas hati dan berhenti di tengah lebuh raya.

“Berlaku perselisihan faham di antara pemandu Ford Ranger dengan kumpulan konvoi Lamborghini berkenaan di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda,” katanya.

Being Yeow berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akata Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Terdahulu tular di media video menunjukkan pemandu beberapa kereta mewah bertindak memberhentikan kenderaan mereka hingga menghalang laluan di lebuh raya.

Susulan daripada itu satu lagi video tular memaparkan sebuah pacuan empat roda menghimpit satu daripada kereta mewah yang sedang berkonvoi di lebuh raya berkenaan.

Kejadian itu dipercayai menjadi punca kumpulan konvoi kereta mewah terbabit kemudian berhenti dan membuat halangan di laluan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here