MoU PH dengan kerajaan terbatal jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibentangkan – Guan Eng

0
2

PAKATAN Harapan (PH) menegaskan jika Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak dibentangkan di Dewan Rakyat seperti dijanjikan, Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama kerajaan sebelum ini akan terbatal.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata penjelasan perlu diberikan susulan kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat lalu.

Menurutnya, Wan Junaidi Tuanku berkata Kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

“Terdapat beberapa kekeliruan mengenai status perkara ini sekarang, Wan Junaidi memaklumkan ia ditunda, tetapi terdapat Aturan Urusan Parlimen pada Isnin ini mendedahkan pembentangan Bacaan Pertama Pindaan Perlembagaan Rang Undang-Undang.

“Jadi kami ingin tahu RUU apa yang akan dibentangkan esok, kerana setakat yang kami tahu hanya RUU Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan kali ini.

“Kerajaan perlu berbincang dengan pembangkang bagi sebarang RUU atas dua sebab, pertama ia termaktub dalam MoU yang ditandatangani dan kedua kerajaan tiada majoriti untuk meluluskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 di Shah Alam, hari ini yang juga sidang media terakhirnya sebagai Setiausaha Agung DAP.

Guan Eng berkata, PH sudah menegaskan RUU Anti Lompat Parti ini perlu digubal bagi menghentikan tindakan wakil rakyat lompat parti yang menurutnya telah mencemarkan keseluruhan proses demokrasi negara.

“Kami (PH) sudah tegaskan sebelum ini, jika RUU ini tidak diluluskan, maka ia adalah pengakhiran kepada MoU yang ditandatangani sebelum ini.

“Melainkan ada penjelasan lanjut mengenai perkara ini dan kita lihat apa yang akan dibentangkan esok di Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here