AHLI Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii kini adalah Ketua Pemuda DAP yang baharu, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari Young Syefura Othman pula dipilih menjadi timbalannya dalam pemilihan parti itu semalam.
Dalam ciapan di Twitternya semalam, Kelvin Yii mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan pesaingnya dalam pemilihan kali ini, dan yakin Pemuda DAP akan terus memainkan peranan penting.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan saya dalam DAPSY (Pemuda DAP) kerana memberikan semangat dan kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ketua DAPSY anda untuk penggal ini.
“Saya yakin dengan potensi dan kebolehan anak muda untuk melakar masa hadapan yang lebih baik.
“Dan saya percaya DAPSY akan terus menjadi penggerak dan pemikir yang akan membawa solusi yang kreatif, dan inovatif untuk isu-isu yang dihadapi oleh anak muda dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Young Syefura turut mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah memilihnya untuk jawatan Timbalan DAPSY.
“Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Ilahi atas kemenangan saya bersama Kelvin Yii dalam pemilihan DAPSY Kebangsaan pada hari ini (semalam).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah hadir dan mengundi pada hari ini. Terima kasih kerana telah memberikan kepercayaan ini kepada saya dan juga Kelvin untuk meneraju DAPSY Kebangsaan.
“Semoga DAPSY akan terus maju dan mencapai aspirasi yang telah kami rancang bersama. Mari kita semua bersatu dan bekerjasama demi DAPSY dan parti DAP,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hari ini, DAP akan mengadakan pemilihan jawatankuasa eksekutif terutama jawatan Setiausaha Agung DAP bagi menggantikan Lim Guan Eng yang sudah tamat tempoh memegang jawatan tertinggi parti itu. – Malaysiapost

