Cukup sudah kita pukul sesama sendiri – Shahril Hamdan

0
3

MESEJ paling penting yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini adalah mengenai penyatuan, keharmonian dan kebersamaan.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata oleh itu cukuplah sudah Umno ‘memukul’ sesama sendiri kerana semua pemimpinnya sama ada pimpinan tertinggi mahupun anggota kabinet ada jasa mereka kepada parti.

“Cukup sudah kita pukul sesama sendiri. Musuh kita bukan sahabat-sahabat kita. Musuh kita adalah pihak lawan. Top 5 kita kerap bersama. Tidak ada pertelagahan. Tidak ada kegelinciran. Mereka teguh bersama demi parti keramat ini.

“Biar mereka berbincang untuk putuskan bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bayangan yang diberikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penangguhan semalam juga jelas di mana PAU 2021 ini adalah yang terakhir sebelum PRU-15.

“Perjuangan saya bersama Umno, bersama semua 3 juta ahli kita di semua peringkat untuk matlamat sama – kembali menang mutlak di PRU, seperti mana saya sentuh dalam ucapan penangguhan di pentas Pemuda kelmarin.  

“Apa yang harus kita lakukan selepas ini adalah rapatkan saf, perkuatkan barisan, berbangga dengan segala kejayaan pimpinan sama ada dalam atau luar Kerajaan tanpa rasa sangsi dan perasaan berkabilah antara kedua-duanya.

“Dengan usaha ini, kita akan masuk ke gelanggang pada puncak gelombang sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan memudahkan kita untuk sambung yang tergendala,” katanya.

Menurut Shahril, PAU 2021 berlangsung dengan jayanya dengan pelbagai isi bahas dari jurucakap negeri, sayap, veteran dan mahasiswa.

Beliau berkata, pengakhirannya juga memberikan suatu mesej keharmonian dalam persiapan mendepani medan pertempuran sebenar.

“Ucapan penangguhan oleh Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan tidak ada perpecahan dalam Umno.

“Umno bersatu hati dan bersedia untuk mengorak langkah ke depan bagi mengembalikan negara kita ke landasan yang betul.

“Pengumuman gaji minimum, pengumuman perihal pemerkasaan wanita serta beberapa lagi pengumuman baru di pentas Umno oleh Perdana Menteri menunjukkan keprihatinan kerajaan apabila diterajui Umno,” katanya.

Menurutnya, ucapan Presiden parti juga memberi gambaran bahawa PRU-15 akan melihat banyak ‘gamechanger’ daripada BN iaitu 70 peratus muka baru membabitkan semua sayap Umno akan diberi tempat selayaknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here