DBP hargai hasrat Perdana Menteri mahu tingkat penguatkuasaan Bahasa Melayu

0
2

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai ucapan penggulungan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Perhimpunan Agung Umno yang mencadangkan Akta DBP dipinda, membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, termasuk di pihak berkuasa tempatan (DBP).

Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan berkata DBP telah mengemukakan pindaan Akta DBP dalam tiga perkara utama.

Pertama, katanya, pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, khasnya Perkara 152(6).

Menurutnya, ia memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

“Kedua, peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa yang berasaskan undang-undang sah walaupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia.

“Pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkaitan rapat dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997, dengan DBP sebagai Urus Setianya,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Awang Sariyan berkata, pindaan ketiga berkaitan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan DBP dapat digerakkan dengan lebih berkesan.

Sebagai badan berkanun, katanya, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan.

“Dengan kelulusan pindaan itu, DBP dapat menyumbang kepada kerajaan dalam aspek kewangan negara.

“DBP yakin bahawa iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai salah satu dasar utama negara.

“Di samping itu, kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia,” katanya.

Terdahulu Ismail Sabri berkata beliau memasang impian untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Sehubungan itu, beliau mahu Umno menjuarai dalam memartabatkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang juga termaktub dalam Perlembagaan Umno Fasa 3.5. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here