AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang tidak senang apabila Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 membicarakan soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Sudah masuk tahun ke-4 kita berada dalam Penggal ke 14, 5 Tahun masa diberi, ini tahun terakhir, susah ke nak Faham apabila Semangat PAU kali ini bercakap soal PRU? Kan dah biasa tahun akhir berbicara soal PRU?,” soalnya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, rakyat sudah kembali menjalani kehidupan seperti biasa, sesi persekolahan bersemuka sudah bermula dan sempadan negara mula dibuka.
Bagaimanapun, katanya, keadaan ekonomi negara perlu dibaiki dan keyakinan demokrasi perlu dikembalikan demi kesejahteraan rakyat.
“Ada kata rakyat tak sedia, yang tak sedia, rakyat ke atau pembangkang? Atau ada benda peribadi yang tak selesai ?
“Rakyat pergi undi satu hari sahaja, bukan ambil masa satu bulan nak buang undi macam di Indonesia atau USA (Amerika Syarikat), apa yang tidak sedianya sekira satu hari?,” katanya.
Mohd Razlan berkata, banyak negara luar telah selesai menjalankan Pilihan Raya Umum walaupun dalam keadaan pandemik.
“Kita ni jangan selalu buat alasan sebab kepentingan kumpulan kita sahaja, lihat lah keadaan di bawah, makan minum rakyat, kehidupan rakyat! Kasihanlah pada keadaan peniaga dan rakyat,” ujarnya. – Malaysiapost

