PAU2021 : Umno dijangka lulus usul segerakan PRU, tangguh pemilihan parti esok

0
2

SEBUAH usul bagi menggesa supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disegerakan dan meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan parti diadakan selepas PRU dijangka akan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, esok.

Salah sorang pemimpin tertinggi Umno berkata, dua usul berkenaan antara usul yang utama akan dibentangkan pada hari akhir persidangan bagi mendapatkan sokongan lebih 5,000 perwakilan.

“Usul utama yang akan dibawa pada persidangan esok adalah bagi menggesa PRU ke-15 dipercepatkan. Serta usul supaya pemilihan parti ditangguhkan selepas PRU diadakan bagi mengelak perpecahan dalaman parti.

“Dua usul utama ini dijangka akan mendapat sokongan majoriti perwakilan Umno dan menjadi hala tuju kepada persiapan menghadapi PRU ke-15,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Semalam, Pemuda dan Puteri Umno menggesa supaya perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan pemilihan diadakan selepas PRU.

Menurut Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia penting bagi memastikan kesepaduan parti tidak dirosakkan oleh gelombang pemilihan.

“Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha memaksa disegerakan pemilihan parti. Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai kepimpinan pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti? Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur.

“Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?,” ujarnya.

Cadangan yang sama turut disuarakan Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2021.

Zahida berkata, dengan pindaan itu, ahli akan dapat menilai pemimpin mana yang rela berkoban demi kemenangan dalam PRU dan pemimpin mana pula yang sanggup berhabis demi memastikan jawatan sendiri dalam parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here