Pembubaran Parlimen, jangan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong

0
2

Nilam Oshman

BEKAS Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, justeru segala langkah untuk membubarkan Parlimen seharusnya tidak melebihi kuasa baginda.

Namun Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, segala keputusan juga akan datang dengan nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jadi kita tunggu apa pendirian parti yang saya rasa pendirian itu disampaikan dan dipanjangkan kepada Kebawah Duli Tuanku yang akan menentukan segalanya.

“Kalau kita nak bincangkan pasal PRU15 oleh Perdana Menteri, jadi proses itu berjalan dengan lancar, jangan ada pihak cuba menangguk di air yang keruh kalau wujudpun air keruh.

“Tetapi jangan kita melebihi dan terlanjur dalam kita nak pastikan sesuatu kita semua kena tahu kedudukan masing-masing, kedudukan parti, kedudukan Perdana Menteri,” katanya selepas Ucapan Dasar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara hari ini.

Mengulas ucapan dasar Presiden Umno, Hishammuddin berkata, banyak perkara disentuh tetapi bagi beliau paling penting ialah kesedaran bahawa pentingnya kerajaan serta parti melihat ke hadapan dan mesti bergerak seiring dan senada.

“Kalau nak kita pastikan kelangsungan perjuangan kita bersama ini, perlu digembleng kerajaan dan parti. Itulah yang ditekankan oleh Presiden.

“Jadi nak melihat ke hadapan, penekanan Presiden kita tadi dalam ucapan dasar bahawa cukup-cukuplah menuding jadi sesama kita. Penting untuk kita rapatkan barisan, penting untuk parti dan kerajaan bergerak seiring dan senada,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here