KWSP RM10,000: Pembangkang cuba tumpang semangkuk

0
2

USAHA konsisten Umno mendesak kerajaan bagi pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akhirnya berjaya, namun ada pihak cuba menangguk di air keruh kononnya ia perjuangan mereka.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana meluluskan desakan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamdi membidas pihak pembangkang yang cuba meraih kredit daripadanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, sejurus selepas kebenaran terbabit diberikan, terdapat pula pihak pembangkang yang turut menyifatkan desakan pengeluaran itu juga daripada mereka.

“PM, saya dan para perwakilan ingin mengucapkan syabas dan tahniah. Ini suara akar umbi, Datuk Asyraf menyebut dan saya menyebut tapi ada yang tumpang semangkuk.

“Para pembangkang bila dia tahu PM nak sebut, dia pun cakap dia yang minta. Ini suara dari Umno,” katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 hari ini.

Ahmad Zahid juga menegaskan, usaha itu diterajui Umno yang mendesak kerajaan membenarkan skim terbabit dalam meringan beban rakyat selepas pandemik Covid-19.

“Saya amat teruja dan diharapkan kita di barisan pimpinan tertinggi Umno bukan hanya mendengar tetapi menghayati hasrat mereka.

“Bagaimanapun, kita bersyukur kepada Allah SWT, akhirnya kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka yang layak, mengeluarkan wang simpanan KWSP secara one-off sebanyak RM10,000.

“Terima kasih kepada para pejuang parti yang bersungguh-sungguh memperjuangkan isu ini. Terima kasih juga kita rakamkan kepada Perdana Menteri,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here