PRU15: Nak tunggu apa lagi, soal Zahid

0
2

MESKIPUN memahami keputusan membubarkan Parlimen terletak pada sokongan Kabinet sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, namun Umno juga berhak menentukan hala tuju partinya sendiri.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak akan mengganggu urusan tersebut sesuai dengan sifat parti yang menjunjung Perlembagaan negara.

“Kita faham bahawa kuasa untuk membubarkan parlimen adalah keputusan kabinet, di mana perdana menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tidak mahu mengganggu urusan itu, tetapi Umno sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” katanya dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, hari ini.

Ahmad Zahid juga menegaskan, apabila ‘mood’ rakyat sedang condong ke arah Umno, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera.

“Nak tunggu apa lagi…? Bak kata Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) ‘buek apo tunggu lamo-lamo, takut anak daro dicuri orang’,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendakwa tindakan parti pembangkang menandatangani dan ingin melanjutkan memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan patut dicurigai.

Jelasnya, pihak yang berkenaan tidak pernah berhenti mahu menghancurkan Umno.

“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani MoU, ia bererti mereka ada muslihat tertentu.

“Saya percaya, mereka menerima kita kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita. ‘They never love us!’

“Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! ‘You are sleeping with your enemies’. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi?” soalnya.

Susulan kemenangan dua pertiga BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ni, timbul gesaan di kalangan ahli Umno agar PRU-15 diadakan segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here