PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau sedar terdapat pihak dalam parti itu sedang mengatur strategi bagi menghadapi pemilihan parti.
Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, walaupun mungkin dilihat banyak berdiam diri dan bertolak ansur, namun itu tidak bererti beliau leka dan janganlah terlalu banyak mengujinya.
“Usahlah asak saya sampai ke dinding. Saya tidak maksum. Saya tidak sempurna. Setiap perbuatan kita perlu ada hadnya!
“Saya tidak ambil kisah dengan serangan orang luar, alah bisa tegal biasa. Tetapi saya kecewa dengan mereka yang menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengkhianati parti dari dalam,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpun Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, sebagai presiden parti beliau sedar dan tahu akan gerakan sedang dicatur pihak tertentu dalam parti.
Namun pada ketika sama beliau meminta ahli dan kepimpinan parti memberi fokus kepada agenda lebih besar iaitu menghadapi Pilihan Raya Umum.
“Ada cai, saya tahu, bukan saya tak tahu siapa pengurus kempen, siapa menyalurkan kewangan, bukan Presiden tak tahu.
“Presiden bekas Menteri Pertahanan, bekas Menteri Dalam Negeri… ada risik kat bawah, kita tumpu penyatuan parti,” katanya. – Malaysiapost

