
PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang iaitu PPV World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL); Axiata Bukit Jalil; PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam; dan PPV Sokha Gakai, Klang telah menamatkan operasi pada 15 Mac lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, sehubungan itu individu yang masih belum menerima vaksinasi lengkap, dos penggalak atau ibu bapa yang ingin membawa anak mendapatkan vaksinasi boleh membuat tempahan slot mengikut PPV yang dipilih.
“Tempahan boleh dibuat melalui pautan yang akan dihantar bersama janji temu ke aplikasi MySejahtera anda.
“PPV pengamal perubatan swasta berdekatan yang menawarkan vaksinasi kanak-kanak dan dos penggalak seperti yang disenaraikan di laman web ProtectHealthiaituhttps://vaksincovid.protecthealth.com.my.
“Walk-in ke PPV offsite yang masih beroperasi. Individu boleh membuat semakan senarai PPV offsite dari semasa ke semasa di laman web ProtectHealthiaituhttps://vaksincovid.protecthealth.com.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, ProtectHealth memaklumkan mengenai penutupan PPV offsite secara berperingkat mulai Mac 2022 apabila kadar pemberian dos penggalak bagi penduduk dewasa mencapai 64 peratus.
Sehingga semalam sebanyak 66.2 peratus daripada penduduk dewasa yang layak telah menerima dos penggalak. – Malaysiapost
