Anifah Aman sahkan hadir Perhimpunan Agung Umno

0
2

BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan beliau dijemput dan akan hadir ke perasmian Perhimpunan Agung Umno 2021, esok.

Perkara itu disahkan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Bekas Menteri Luar itu turut memuatnaik surat jemputan ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 16 Mac 2022.

“Terima kasih atas jemputan. Inshaa’Allah Saya akan hadir di Perhimpunan Agung Umni pada 18 Mac ini di PWTC.

“Usaha demi pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Sabah diteruskan,” katanya.

Anifah, bekas Ketua Umno Bahagian Kimanis keluar Umno pada September 2018, ketika ramai pemimpin parti itu berbuat demikian pada era kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun Anifah tidak menyertai Bersatu seperti bekas wakil rakyat Umno yang lain, sebaliknya menubuhkan PCS.

Malah parti pimpinannya bertanding hampir semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 menentang BN, Warisan serta PH namun tewas kesemua kerusi ditandingi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here