BUTIRAN mengenai pengeluaran khas simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini akan diperincikan dalam masa terdekat.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata butir-butir mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan oleh KWSP.
“Susulan kepada pengumuman oleh Perdana Menteri, mengenai pengeluaran khas simpanan persaraan KWSP sehingga RM10,000 pada hari ini, saya ingin memaklumkan bahawa butir-butir mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu Ismail Sabri dalam satu sidang media khas, mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Menurutnya, kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.
Beliau berkata, ia merupakan keputusan yang sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
“Walaupun Kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak,” katanya.
Beliau berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan. – Malaysiapost

