Mekanik mengaku tidak bersalah sebabkan kematian 4 sekeluarga

0
2

SEORANG mekanik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Lebuh Raya Sultan Iskandar di ibu kota pada 27 Februari lalu.

Tertuduh, Aliff Asyraf Abu, 27, yang hadir bertongkat serta memakai pendakap badan dan leher, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar di Mahkamah Majistret Trafik hari ini.

Mengikut pertuduhan, Aliff Asyraf didakwa memandu Toyota Hilux dengan melulu hingga menyebabkan kematian pemandu kereta, C Thinisha, 31; dan tiga penumpang iaitu P Milan Damani, 32; D Ishaan Ivaan, 4, serta D Rihaan Ivaan, 3.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Sultan Iskandar pada jam 11.20 pagi, 27 Februari lalu, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Namun tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Izzat Hasizan memohon jaminan dikurangkan dengan alasan hanya bekerja sebagai mekanik dengan gaji harian dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Muhammad Izzat juga meminta jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh kehilangan pekerjaan selepas terlantar di hospital selama tiga minggu sejak hari kemalangan.

“Tertuduh bukan penjenayah tegar bagi mahkamah menetapkan nilai jamin yang terlalu tinggi,” katanya.

Beliau juga memaklumkan tertuduh bukan di bawah pengaruh dadah dan alkohol ketika kejadian.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Dalam nahas pada 27 Februari lalu, empat sekeluarga maut di tempat kejadian apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dinaiki dirempuh sebuah Toyota Hilux. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here