“Saya bukan ‘royalist’ atau tegar Umno” – Shahrir Samad

0
2
Ahli Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad

VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Samad, menegaskan beliau bukanlah seorang ‘royalist’ atau pun tegar Umno dalam soal hubungan antara parti dengan Raja.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, berkata perkara itu termasuklah dalam soal pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu.

Menurut Shahrir, susulan luahannya menyatakan malu untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) berikutan pengenepian Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor, beliau ditanya mengapa menyoalkan kuasa Sultan Johor.

“Tan Sri tak berpihak kepada kuasa Raja ke? Saya jawab, dalam soal hubungan antara parti dengan Raja, saya mempunyai pendirian saya sendiri.

“Tidak setiap masa, saya menyokong parti dalam soal ini. Dan tidak setiap masa, saya menyokong Raja pula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberi contoh ketika krisis perlembagaan berikutan Yang di-Pertuan Agong tidak berkenan kepada undang-undang yang telah Parlimen luluskan dan beliau bersama parti berhubung perkara itu.

“Apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor, iaitu JMF, saya melobi Tan Sri Abdul Ghani Othman (bekas Menteri Besar Johor) untuk minta ditarik balik rang undang-undang itu. Maka selamatlah suatu warisan negeri Johor.

“Semasa diarahkan parti kepada kerajaan negeri supaya Almarhum Sultan Iskandar dipulaukan, saya bawa jawatankuasa bahagian Umno Johor untuk berhari raya dengan Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene.

“Jadi, saya bukan “royalist” atau tegar Umno,” katanya.

Shahrir menegaskan beliau mempunyai prinsip sendiri sebagai seorang demokrat.

“Kuasa, bagi saya, haruslah bersendalkan kepada kebijaksanaan. Itu sahaja. Tiada apa-apa kepentingan.

“Sokong atau setuju, tidak sokong atau tidak setuju dengan saya, tidak menjadi hal,” katanya.

Shahrir semalam meluahkan rasa kecewa dengan kemelut pelantikan Menteri Besar Johor, terutama apabila Pengerusi Umno negeri, Datuk Hasni Mohammad, tidak kembali menjawat jawatan itu.

Susulan itu, Shahrir berkata, beliau tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan diadakan bermula 16 Mac ini kerana berasa malu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here