RM596,000 kompaun dikenakan terhadap pemilik pusat hiburan, pengunjung

0
2

SEBANYAK 596 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM596,000 dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur sejak 1 Januari lalu hingga kini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamtan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Menurutnya, terbaharu sepasukan pegawai JPJKK Kuala Lumpur telah menyerbu tiga pusat hiburan berasingan di ibu negara lewat malam tadi.

“Hasil serbuan mendapati pusat hiburan yang diserbu telah beroperasi dengan melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, 2021.

“Kompauan bernilai RM1,000 telah dikenakan kepada tiga pemilik premis manakala seramai 18 pengunjung di premis pertama, 20 di premis kedua dan 34 lagi di premis ketiga turut dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kompauan yang dikeluarkan semalam adalah bernilai RM75,000.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum.

“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here