Kemelut MB Johor: Onn Hafiz kunci mulut

0
2

“MINTA maaf saya sedang sibuk, saya akan hubungi semula,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata demikian bagi mengelak menjawab desas desus yang bertiup kencang sejak petang semalam, mengaitkan dirinya bakal menjadi Menteri Besar Johor yang baharu.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Johor masih belum terjawab hingga kini, malah belum ada sebarang pengumuman mengenai sebarang majlis angkat sumpah akan diadakan.

Semalam, media melaporkan Onn Hafiz yang juga bekas EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, dipercayai bakal dilantik menjadi Menteri Besar ke-19, menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad.

Desas-desus mengenai pelantikan Onn Hafiz yang kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di kerusi DUN Layang-Layang, semakin kuat apabila Barisan Nasional (BN) berjaya meraih kemenangan lebih dua pertiga pada PRN Johor.

Menurut sumber BN, ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.

“Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

“Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula,” menurut sumber itu.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan telah mengadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dibuat daripada Ahmad Zahid selepas pertemuan itu.

Namun, tidak lama kemudian, Hasni Mohammad membuat kenyataan tentang cadangannya agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor.

Hasni menjelaskan beliau melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Negeri Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here