Tuntutan waris Sultan Sulu: ‘Tommy Thomas mesti bertanggungjawab’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk meneliti isu kedaulatan negara berhubung tuntutan waris Sultan Sulu di Sabah.

Beliau berkata, penubuhan pasukan khas itu penting untuk menerangkan mengenai kesemua isu berkaitan kepada masyarakat.

Katanya, selain itu, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang dilantik Pakatan Harapan (PH) perlu dipertanggungjawabkan dalam isu tersebut.

“Beliau mesti dipertanggungjawabkan. Harus ada penjelasan yang lengkap, telus dan munasabah dari beliau terhadap tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Adalah tidak pelik jika masyarakat bukan sahaja berasa marah dan ‘kesal’ dengan tindakan bekas peguam negara lantikan PH ini, tetapi ramai yang mula berasa tidak selamat.

“Mana tidaknya, kita sendiri yang mengaku dan mengiktiraf penceroboh mempunyai ke atas kita sekali pun selepas melakukan pencerobohan wilayah dan membunuh anggota keselamatan kita,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau menyeru masyarakat bersama-sama meneliti isu itu dengan rapat, selain tidak membiarkan mereka yang terlibat dalam isu kedaulatan negara terlepas begitu sahaja.

Katanya, tindakan Tommy itu bukan sahaja tidak mencerminkan ketegasan negara dalam mempertahankan kedaulatan negara, malah meletakkan Malaysia dalam kedudukan sukar.

“Malah, ketundukan kerajaan PH pada desakan luar dalam isu tuntutan waris masyarakat Sulu di Sabah yang tidak seharusnya dilayan telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang sukar.

“Ia bukan sahaja perihal pampasan RM63 bilion, ia turut memalukan dan mengancam keselamatan awam.

“Sebelum ini Pulau Batu Puteh sudah terlepas. Ini pula isu kedaulatan yang melibatkan Sabah. Mereka tidak boleh dibiarkan terlepas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tidak hairan selama ini Tommy sangat beria-ia ‘membuka pekung’ Jabatan Peguam Negara (AGC) di dalam bukunya Justice In Wilderness.

“Kononnya kakitangan kerajaan dalam AGC tidak kompeten, tidak cekap dan sebagainya.

“Barangkali semua itu hanya untuk menutup kelemahan dan kesilapannya dalam isu ini. Sehingga memburuk-burukkan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) berkata kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu itu.

Ini memandangkan lantikan penimbang tara yang dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here