Farah Ann umum bersara

0
3

RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mengumumkan persaraan secara rasmi daripada sukan yang diceburinya selama 25 tahun itu, hari ini.

Memaklumkan perkembangan itu menerusi Instagram, Farah Ann berkata beliau kini sudah bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang diceburinya sejak kecil.

Bagaimanapun, gimnas berusia 27 tahun itu berkata, walaupun sudah bersara namun ia tidak menghalangnya untuk terus berbakti kepada sukan berkenaan.

“Dua puluh lima tahun lalu, seorang anak kecil mengambil keberanian dan menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.

“Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif.

“Apa yang boleh saya katakan, terima kasih gimnastik atas memori indah dan pengalaman yang diperoleh. Di sepanjang perjalanan itu, saya mengorak langkah untuk mencapai impian saya, layak dan beraksi di Sukan Olimpik, saya bersyukur atas persaraan saya yang mengikut jangka masa,” katanya.

Menyifatkan perjalanan kariernya menakjubkan, Farah Ann mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya.

“Terima kasih kepada semua. Gimnastik akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya, kerana ia akan selalu menjadi minat saya.

“Saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan ini. Saya mungkin bersara sebagai atlet tetapi saya akan sentiasa terus terbabit dalam dunia sukan,” tulisnya.

Untuk rekod, Farah antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan SEA.

Farah Ann meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.

Dia juga mencipta sejarah menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here