Bangsa Johor memilih!

0
3

KESEMUA parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat berkempen berhabis-habisan buat kali terakhir sebelum tempoh berkempen berakhir tengah malam ini.

Pelbagai ceramah mega atau ‘grand finale’ membabitkan sebahagian besar kepimpinan parti-parti yang bertanding terutama tiga gabungan terbesar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Kempen dan ceramah bukan sahaja dibuat secara bersemuka tetapi turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform media sosial.

Antara pemimpin yang dilihat berkempen buat kali terakhir adalah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ramai lagi.

Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya, malam ini sempena selesai selama dua minggu tempoh berkempen untuk PRN Johor, menzahirkan rasa terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pihak.

“Saya amat terharu tatkala melihat semangat dan cita-cita rakyat dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di Johor yang benar-benar mahukan perubahan. Namun, keluhan dan keresahan yang disampaikan kepada saya tidak sedikit.

“Justeru, perubahan yang kita anjurkan tidak hanya sekadar slogan, tetapi ia adalah cetusan nurani Keadilan yang mahukan sebuah sistem tadbir urus yang baik dan pemerintah yang peka akan nasib dan derita rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan mesejnya adalah jelas bahawa rakyat negeri Johor harus berani mencipta anjakan dan keputusan di peti undi esok adalah penentu, tidak hanya masa depan negeri, malah masa depan negara dan demi kepentingan generasi akan datang.

Sementara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dalam hantarannya di Facebook, memberikan tujuh sebab kenapa pilih BN.

“Selesai sudah tempoh 14 hari berkempen. Esok adalah hari penentuan. Pengundi di Johor akan membuat keputusan siapakah yang berhak diangkat untuk menerajui negeri yang penuh dengan potensi dan masa depan ini.

“Saya sedar pasti semua telah meneliti latar belakang calon dan tawaran-tawaran dari parti yang mereka wakili. Izinkan saya menzahirkan pandangan faktor-faktor dalam segala kekalutan dan kepelbagaian tawaran ini, dan BN adalah tawaran yang terbaik dan relevan,” katanya.

Tujuh sebab berkenaan adalah, BN adalah parti dengan pengalaman dan rekod pentadbiran yang baik; parti yang tidak menghukum dan berdendam dan ini adalah masa untuk kita menyambung semula apa-apa yang tergendala

Selain itu, BN adalah parti yang prihatin kepada keperluan rakyat; parti yang tidak akan membuang watak dan keistimewaan Malaysia; mengetengahkan ramai anak muda; dan BN adalah parti yang turun ke PRN Johor dengan agenda yang lengkap serta calon MB yang jelas.

“Tujuh aspek ini hanyalah antara sebahagian faktor mengapa kita mesti mempertimbangkan BN sebagai pilihan paling ampuh, teguh dan stabil,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan, hari ini mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam.

Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi, termasuk menerusi saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here