Agong tidak terima menghadap selama seminggu

0
3

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan menerima menghadap daripada mana-mana pihak selama seminggu kerana sedang menjalani tempoh pemerhatian di sebuah hospital. 

Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin. 

Memetik laporan Reuters, Ahmad Fadil berkata demikian susulan  kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin menghadap baginda bagi mendapatkan perkenan untuk membentuk kerajaan baharu.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah dinasihatkan oleh doktor-doktornya untuk menetap (di hospital) selama tujuh hari untuk pemerhatian.

“Sehingga itu, baginda tidak akan menerima menghadap daripada sesiapa,” katanya. 

Rabu lalu, Anwar membuat kejutan apabila mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti bagi menubuhkan kerajaan baharu. 

Ia selepas tujuh bulan krisis perebutan kuasa berlaku yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri.

Pergolakan politik yang dicetuskan ketua pembangkang itu berkemungkinan akan membantutkan usaha untuk menstabilkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Muhyiddin yang mempunyai majoriti tipis di Parlimen, menolak dakwaan yang Anwar mempunyai majoriti kukuh serta mencabarnya membuktikan sokongan yang dikatakan tersebut melalui proses perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong berperanan dalam majlis adat istiadat di Malaysia dan baginda boleh melantik Perdana Menteri yang pada pandangannya cenderung mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Atas nasihat Perdana Menteri, baginda juga mempunyai kuasa membubarkan parlimen supaya pilihan raya dapat diadakan.

Kelmarin, Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong  namun terpaksa dibatalkan susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sehingga kini tiada seorang Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap Anwar. 

Namun Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan berkata  beliau tidak dapat menghalang mana-mana Ahli parlimen yang membuat keputusan menyokong Anwar membentuk kerajaan baharu. -Malaysiapost

Foto Kredit: The Rakyat Post